PETALING JAYA – Polis sedang mengesan saksi berhubung penemuan mayat seorang wanita warga asing dengan beberapa kesan tikaman di badan di sebuah kawasan hutan berhampiran Bandar Country Homes, Rawang, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, mayat wanita berusia lingkungan 25 hingga 40 tahun itu ditemui pada 2 Januari lalu.
Bagaimanapun katanya, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui di lokasi kejadian dan mangsa dipercayai telah meninggal dunia antara dua hingga empat hari.
“Pakaian terakhir mangsa ketika ditemui adalah berbaju t-shirt berkolar warna hitam tertera perkataan ‘Johny Walker’ dan berseluar pendek berwarna hitam.
“Pemeriksaan pada tubuh badan mangsa mendapati terdapat beberapa kesan tikaman pada leher, dada dan belakang badan mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Noor Ariffin berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Justeru katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, Asisten Superintendan Ikhwanizam Ismail di talian 019-6000468 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222. – KOSMO! ONLINE