fbpx

Terbuka Malaysia: Tang Jie-Ee Wei mudah ke separuh akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TANG JIE (kiri) dan Ee Wei mempamerkan aksi cukup cemerlang ketika menewaskan Midorikawa-Saito di suku akhir Terbuka Malaysia. - SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR – Aksi penuh meyakinkan ditampilkan beregu campuran No.1 negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei ketika melayakkan diri ke separuh akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 sebentar tadi.

Pada perlawanan suku akhir yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, pasangan No.5 dunia itu langsung tidak menunjukkan belas kasihan ketika membenam cabaran wakil Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito 21-11, 21-18 dalam tempoh 36 minit.

Kemenangan itu menyaksikan Tang Jie-Ee Wei melebarkan rekod kepada empat kemenangan dalam enam pertemuan dengan dua aksi terdahulu pada Jelajah Dunia Akhir dan Thailand Masters tahun lalu turut memihak kepada mereka.

Kemaraan Tang Jie-Ee Wei turut dianggap sebagai hari cemerlang buat kem beregu campuran negara memandangkan pasangan profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai sudah mengesahkan kemaraan ke separuh akhir lebih awal.

“Hari ini agak susah tetapi kami memberikan sepenuh fokus bagaimana untuk dapatkan mata dan lebih stabil dalam gelanggang. Kami memberi sepenuh kepercayaan antara satu sama lain dan gembira dapat mengeluarkan permainan sendiri.

“Ini adalah pencapaian cukup baik untuk beregu campuran negara kerana Soon Huat-Shevon juga mewakili Malaysia. Memang terbaik sekiranya pertemuan sesama Malaysia di perlawanan akhir nanti,” kata Ee Wei ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia melayakkan diri ke pentas final dalam acara beregu campuran adalah menerusi pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying pada edisi 2016.

Bagaimanapun, pasangan yang terkenal dengan julukan ‘gangster duo’ itu dijangka berdepan laluan sukar di separuh akhir esok apabila dijadualkan bertemu beregu No.1 dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.

Berdasarkan rekod pertemuan, kelebihan dilihat menjadi milik pasangan lawan berkenaan apabila pernah menewaskan Tang Jie-Ee Wei sebanyak empat kali dalam enam perlawanan terdahulu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI