KUALA TERENGGANU – Juara Piala Sumbangsih, Pasukan Hoki Terengganu (THT) menguatkan cengkaman di persada liga dengan menewaskan UiTM HA-KPT 3-1 di Stadium Hoki Batu Buruk di sini sebentar tadi.
Kejayaan itu membolehkan tuan rumah mencapai sembilan mata maksimum hasil kemenangan ketiga-tiga perlawanan awal Liga Hoki Malaysia (MHL).
THT bagaimanapun terpaksa menunggu sehingga suku kedua untuk memecah kebuntuan menerusi jaringan pukulan sudut penalti oleh Muhammad Arif Syafie Ishak pada minit ke-18.
Terdahulu pintu gol UiTM yang dikawal penjaga gol, Muaz Bashir Shabri kebal walaupun menerima serangan bertali arus daripada THT.
Aksi di dalam hujan sedikit merencatkan rentak permainan tuan rumah dengan dua percubaan berbahaya Faizal Saari pada suku pertama dan kedua gagal menemui sasaran.
THT berjaya juga melebarkan kedudukan kepada 2-0 selepas Akhimullah Anuar Esook bijak menghidu peluang menerusi gol padang pada minit ke-32.
Empat minit berselang kapten pasukan, Mohd. Fitri Saari meletakkan tuan rumah selesa dengan 3-0 apabila berjaya menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-36.
UiTM memperoleh gol saguhati menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Idris Samad pada minit ke-51.
Ketua Jurulatih THT, Mohd. Harfizi Baharom berkata, pada mulanya, anak buahnya sukar menembusi gawang UiTM ekoran permainan bertahan diterapkan pasukan lawan.
“Kami menukar taktikal mulai suku kedua yang berjaya menghasilkan gol yang melakar kemenangan hari ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE