KEBAKARAN di Los Angeles sejak Selasa lalu yang semakin merebak berikutan angin kencang 160km/jam membuatkan situasi semakin genting sehingga Gabenor California mengisytiharkan darurat.
Susulan kawasan terjejas kini meliputi wilayah Palisades, Eaton dan Sunset yang mengakibatkan 179,000 penduduk dipindahkan ke kawasan selamat, beberapa acara penting termasuk pengumuman nominasi Anugerah Academy atau Oscar ditunda.
Majlis yang dijadualkan berlangsung pada 17 Januari dianjakkan dua hari kemudian, manakala undian membabitkan 10,000 anggota Anugerah Academy turut ditutup lebih lambat iaitu sehingga 14 Januari ini.
Perubahan tarikh diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif Oscar 2025, Bill Kramer itu dikirim menerusi e-mel kepada semua anggota majlis petang semalam.
Berdasarkan jadual, malam kemuncak Anugerah Academy kali ke-97 bakal berlangsung di Dolby Theatre, Los Angeles, pada 2 Mac ini yang dikendalikam hos dan pelawak Conan O’Brien.
Selain Oscar 2025, industri hiburan Hollywood yang terjejas teruk akibat kebakaran turut menyaksikan Critics Choice Awards yang sepatutnya diadakan di Santa Monica, hujung minggu ini ditunda.
Ketua Pegawai Operasi pengelola acara, Joey Berlin, berkata, pihak penganjur sebulat suara menunda majlis pengiktirafan itu pada tarikh yang akan dinyatakan kelak.
AFI Awards yang meraikan 10 filem dan siri televisyen terbaik yang dijadualkan hari ini juga dibatalkan demi keselamatan semua pihak.
Bahkan, majlis tayangan perdana filem termasuk Unstoppable, Wolf Man dan The Last Showgirl selain acara penghargaan untuk filem Emilia Perez yang meraih trofi Golden Globes, turut ditunda.
Pelbagai agensi termasuk 400 anggota bomba serta kerajaan Amerika Syarikat kini dalam usaha memadamkan kebakaran serta menangani darurat. – KOSMO! ONLINE