KUALA LUMPUR – Gerakan belia di negara ini perlu melihat kepada isu dasar dalam menentukan sama ada mereka sebagai pencetus idea dan pembaharuan kepada negara, atau hanya sekadar organisasi formal semata-mata.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, golongan muda mempunyai keistimewaan dari segi idealisme dan cetusan idea kerana kekuatan semangat mereka yang inginkan perubahan, namun kadangkala kurang sabar dalam menuntut perkara tersebut.
“Kalau belia itu umurnya muda, fikiran lembab, sikap hambar dan mudah toleransi dengan penyelewengan rasuah kerana terikat kelompok tertentu, maka ini gagal dari segi cetusan hati nurani dan rakyat.
“Ia tidak mudah dan tentu akan melakukan sedikit sebanyak kesilapan kerana kegopohan mereka kadang-kadang belum cukup menghayati dan menimba ilmu, tetapi dia mengerti andai kata terpancar keinginan semangat membawa perubahan,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Belia Malaysia (MBM) ke-73 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini hari ini.
Anwar berkata, beliau bertuah dan bernasib baik apabila terlibat dalam gerakan mahasiswa pada akhir 1960-an iaitu ketika gelora simpang-siur politik negara yang tidak menentu.
“Saya terlibat gerakan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan MBM. Apa uniknya MBM, kerana ia dapat mengumpulkan kumpulan tenaga idealistik pelbagai agama dan kaum. Ini satu kemestian anak muda untuk mengerti, memahami dan menyantuni.
“Kita dibesarkan dalam kelompok dengan budaya Melayu, India, Cina, Sarawak, Kadazan (dan sebagainya) dan kita dalam dunia kita sahaja. Kalau tak keluar dari tempurung seperti katak bawah tempurung,” katanya.
Beliau berkata, walaupun berdepan kesukaran memandangkan perbezaan budaya dan fahaman, namun keunikan tersebut dapat menyampaikan erti kemanusiaan, persamaan dari segi makna kebebasan, karamah insaniah manusiawi dan kebenaran yang tidak terbatas kepada warna kulit dan kaum.
“Saudara boleh pilih nak jadi ‘jagoan’ picisan menjerit tak tentu arah tentang suku kaum, warna kulit, fanatik agama, tentang isu remeh-temeh atau saudara pilih untuk selamatkan bangsa dan negara Malaysia tercinta,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE