PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat perlu membuat pertimbangan teliti sebelum meluluskan permohonan dua taska yang terlibat isu kematian dan insiden kecederaan dua orang bayi, baru-baru ini.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sebarang permohonan taska tidak dapat diluluskan dengan mudah berikutan perlu mendapat beberapa kululusan termasuk daripada pihak berkuasa.
“Dalam tindakan polis (kes kematian taska), maka ianya tidak dapat luluskan dengan mudah. Ia memerlukan kelulusan pihak bertanggungjawab. Kita ada bomba dan pihak berkuasa tempatan. Jika di Sarawak pula, kita ada Jabatan Tanah dan Survey,” katanya di sini tadi.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan kes bayi berusia empat bulan yang maut di sebuah taska di Saujana Putra, Selangor pada Jumaat minggu lalu.
Pada masa sama, seorang bayi berusia lapan bulan juga mengalami kecederaan dan lebam dipercayai digigit kanak-kanak lain di sebuah taska dekat Kuching, Sarawak Selasa lalu.
Mengulas lanjut, Nancy berkata, pihaknya juga mengambil langkah berhati-hati berhubung kelulusan permohonan itu selepas melihat kepada kenyataan dibuat ayah mangsa.
“Jadi, perlu pertimbangan dan penelitian. Kalau kita luluskan dengan begitu (mudah sahaja, ia boleh melibatkan keselamatan anak-anak kita,” katanya. – KOSMO! ONLINE