KOTA TINGGI – Jalan Sungai Mas di sini ditutup untuk kenderaan ringan pukul 2.50 petang hari ini susulan hujan lebat sejak pagi tadi.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Kota Tinggi menerusi laman Facebook memaklumkan jalan berkenaan hanya boleh dilalui kenderaan berat sahaja.
“Banjir di Jalan Persekutuan melibatkan kawasan banjir di Sungai Mas nombor laluan Ft 092. Panjang kawasan terlibat 50 meter kedalaman air 0.35 meter. Status laluan ditutup untuk kenderaan ringan kerana arus deras.
“Tindakan pemasangan signboard di tempat kawasan banjir telah diambil. Punca banjir disebabkan hujan lebat dari awal subuh menyebabkan air sungai penuh,” katanya dalam kenyataan itu.
Kejadian banjir merupakan kali kedua di Kota Tinggi berlaku dalam tempoh peralihan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berakhir Mac depan, selepas kali pertama berlaku hujung tahun lalu. – KOSMO! ONLINE