fbpx

Perompak berparang, besi kuku kambing mengaku salah lakukan samun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KIM CHEONG (kanan) dan rakannya, Ching Hwai dituduh melakukan rompakan bersenjata dan mengambil dadah serta menyebabkan kecederaan di Mahkamah Sesyen dan Majistret Muar, hari ini.

MUAR – Dua sahabat yang melakukan rompakan bersenjata di Taman Sri Treh, di sini, 17 pada Disember sebelum video insiden samun itu tular dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh, Ku Kim Cheong, 35, dan Chu Ching Hwai, 35, mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan yang dikemukakan di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.

Hakim bagaimanapun menetapkan 24 Januari ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi pihak pendakwaan melengkapkan fakta kes serta hukuman terhadap tertuduh.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan rompakan berkumpulan dengan menggunakan senjata berupa parang dan besi kuku kambing di Jalan Treh 13, Taman Sri Treh 1.

Perbuatan itu dilakukan pada pukul 5.20 petang, 17 Disember lalu dan didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan manakala Seksyen 397 boleh dikenakan sebatan selain apa-apa hukuman yang boleh dikenakan mengikut mana-mana seksyen lain kanun ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Di mahkamah sama, Kim Cheong dan Ching Hwai turut mengaku bersalah mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dibaca bersama Seksyen 39C (1) (b) akta sama.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan setiap seorang selain pengawasan polis selama dua tahun selepas menjalani hukuman itu.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, kedua-dua tertuduh turut mengaku bersalah mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mencederakan pemilik rumah berusia 33 tahun, pada pukul 5.10 petang di lokasi dan tarikh sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqiilan Ahmad Rofaei memohon kebenaran mahkamah untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen selari dengan Seksyen 167 yang dibaca bersama Seksyen 177 Kanun Prosedur Jenayah.

Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan pihak pendakwaan bagi tujuan fakta dan hukuman yang kemudiannya ditetapkan pada 24 Januari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar dalam kenyataanya berkata,6 kejadian samun yang berlaku pada pukul 5.30 petang, 17 Disember 2024 itu telah menyebabkan seorang ahli perniagaan berusia 32 tahun dan bapanya, 60, mengalami kecederaan.

Katanya, beberapa rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) insiden itu turut tular di laman sosial yang menunjukkan dua suspek bertopeng menggunakan senjata parang dan sebatang besi kuku kambing memecah masuk rumah.

“Suspek yang cuba melarikan diri bertindak menyerang kedua-dua mangsa dan berlaku pergelutan sehingga menyebabkan mangsa cedera di tangan, bahu dan kaki serta mengalami kerugian kira-kira RM3,500.

“Rakan wanita mereka yang berusia 35 tahun yang ditangkap bersama-sama pada 20 Disember tahun lalu di Sungai, Perak pula bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis pada tarikh sama ditangkap,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI