MENCARI pasangan hidup yang ideal dan tepat bukan satu perkara yang mudah. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Bertemu jodoh dengan yang kaya-raya dan saling memahami antara satu sama lain adalah bonus. Jika salah percaturan boleh menjadi asbab sengsara yang terpaksa ditanggung seumur hidup.
HibGlam minggu ini merangkumkan kisah figura wanita popular tanah air dikurniakan rezeki berjodoh dengan pasangan yang mengangkat darjat masing-masing ke tahap mewah dan beroleh bahagia tidak berbelah bahagi.
HANIS ZALIKHA
Bertitik tolak dengan kerjaya sebagai penulis blog sekitar 2008, Hanis Zalikha, 35, antara figura popular yang kehidupannya sentiasa dicemburui. Selain kemewahan, rumah tangga dengan pelakon Hairul Azreen sentiasa diulit bahagia terutama selepas kehadiran dua cahaya mata, Yusuf Iskandar, 8, dan Alisa Aisyah, 5.
Bukan sahaja popular, hidup Hanis dilorongkan serba indah dengan perniagaan yang berjaya, kebahagiaan, pengaruh atau populariti yang tidak pernah surut. Semua itu hadir dengan sistem sokongan iaitu keluarga kecilnya.
MARION CAUNTER
Cukup dikenali sebagai pengacara program realiti One In A Million (OIAM) 16 tahun lalu, kehidupan Marion Caunter, 45, atau nama Islamnya Marion Rose Caunter Abdullah berubah total selepas mendirikan rumah tangga dengan usahawan kereta berstatus jutawan, SM Nasarudin SM Nasimuddin.
Lulusan ijazah penyiaran dan komunikasi elektronik itu menjadi inspirasi ramai kerana hidup dengan cahaya glamor dan kemewahan. Biarpun sering menjadi kecaman dek kehidupan dilabel sebilangan pihak terlalu ‘kebaratan’, itu semua sepertinya tidak menjadi kudis buatMarion yang bahagia bersama keluarga, termasuk tiga orang anaknya.
JULIANA EVANS
CHE Puan Juliana Evans juga antara yang bertuah bertemu jodoh dengan lelaki berstatus kerabat diraja iaitu Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah. Mereka disatukan sebagai suami isteri pada 30 April 2017. Masih aktif dalam dunia lakonan, Juliana, 36, pernah memaklumkan walaupun kini menjadi sebahagian daripada kerabat Diraja Selangor, dia tetap mahu menjalani kehidupan seperti biasa, cumanya ada protokol yang perlu dipatuhi. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua zuriat.
WAWA ZAINAL
Berasal dari Lahad Datu, Sabah, siapa sangka kehidupan Wawa Zainal berubah drastik terutama selepas mendirikan rumah tangga. Bukan sahaja dilimpahi kemewahan dek keberhasilan bisnes Wawa Comestics, Wawa, 34, juga terus diulit rasa bahagia di samping suami, Aeril Zafrel dan empat orang anaknya. Merupakan anak kelapan daripada 11 adik-beradik, Wawa baru-baru ini menjadi contoh kepada ramai selebriti lain selepas menunaikan zakat perniagaan sebanyak RM1 juta kepada Lembaga Zakat Selangor.
AZRINAZ MAZHAR HAKIM
Langit tidak selalunya cerah buat bekas personaliti televisyen, Azrinaz Mazhar Hakim, 46, yang pernah bergelar isteri ketiga kepada pemerintah Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah. Meski dikurniakan dua zuriat berdarah raja, Azrinaz yang merupakan graduan Diploma Penyiaran Institut Media Integratif Malaysia (MIIM) diceraikan Sultan Hassanal pada 16 Jun 2010 dengan talak satu. Azrinaz kemudian bertemu jodoh dengan sahabat lamanya, Fairos Khan Abd. Hamid dan bahagia dengan dua anak perempuan.