JEDDAH – Real Madrid semakin hampir menyamai rekod 14 gelaran Piala Super Sepanyol milik Barcelona selepas menewaskan Mallorca 3-0 dalam perlawanan separuh akhir pada Khamis.
Jaringan Jude Bellingham dan Rodrygo, serta gol sendiri Martin Valjent memastikan pasukan kendalian Carlo Ancelotti melangkah ke final, di mana mereka bakal bertemu musuh tradisi, Barcelona pada Ahad.
Real mendominasi permainan di separuh masa pertama, tetapi hanya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-60 apabila Bellingham menjaringkan gol dengan rembatan rendah ke tengah gol.
Pada masa tambahan, tekanan Real memaksa Valjent menjaringkan gol sendiri, menggandakan kelebihan pasukan sebelum Rodrygo melengkapkan kemenangan tiga minit kemudian untuk meraikan ulang tahunnya yang ke-24.
Pengurus Real, Carlo Ancelotti memuji kehebatan barisan serangannya selepas perlawanan selain menyeru agar kedua-dua pasukan menjaga disiplin selepas berlaku pertembungan fizikal selepas wisel penamat.
“Apabila pemain serangan mula aktif, apa sahaja boleh berlaku. Empat pemain serangan kami sangat berbahaya, dan semua orang boleh lihat kualiti mereka.
“Tidak perlu ada pertelingkahan seperti itu selepas perlawanan. Akhirnya tiada apa yang berlaku, tetapi perkara seperti ini sepatutnya dielakkan,” ujar Ancelotti.
Kemenangan itu membuka jalan kepada final epik antara Real Madrid dan Barcelona, pertemuan ketiga berturut-turut dalam Piala Super Sepanyol selepas tahun lalu, Real keluar sebagai juara, manakala Barcelona kali terakhir memenangi trofi ini pada 2023. – AGENSI