JOHOR BAHRU – Seorang pengurus insurans berputih mata selepas kerugian RM1.4 juta kerana terperdaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan 580 peratus dalam tempoh dua bulan.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 59 tahun membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut, semalam.
Menurut beliau, dia mula diperkenalkan dengan pelaburan atas talian tersebut oleh seorang wanita yang menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp pada November lalu.
“Kerana tertarik dengan pelaburan itu, mangsa membuat 15 transaksi pindahan wang ke beberapa akaun berbeza berjumlah RM1,400,500.
“Semakan dibuat menerusi satu aplikasi menunjukkan mangsa telah mendapat keuntungan sebanyak RM4.7 juta, namun hanya boleh mengeluarkan wang berjumlah RM7,500 sahaja.
“Mangsa dimaklumkan sekiranya mahu mengeluarkan semua wang yang didakwa sebagai keuntungan itu, dia perlu membuat pembayaran tambahan sebanyak RM80,000,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Bagaimanapun, Kumar memberitahu mangsa tidak membuat pembayaran tambahan tersebut kerana percaya telah menjadi mangsa sindiket penipuan atas talian. – KOSMO! ONLINE