KUALA LUMPUR – Axiata Arena terus bergema apabila beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai mencipta sejarah sejurus melangkah ke pentas separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025, sebentar tadi.
Soon Huat-Shevon yang turun selaku gandingan ranking No. 6 dunia tampil dengan cukup agresif apabila menundukkan pasangan No. 11 dunia, Cheng Xing-Zhang Chi dengan kemenangan straight set 21-15, 22-20 dalam tempoh 47 minit.
Pada set pertama, Soon Huat-Shevon yang turun selaku pasangan pilihan keempat kejohanan, bijak membaca strategi permainan lawan sebelum menamatkan set pertama dengan kemenangan 21-15 dalam tempoh 18 minit.
Kecekapan mereka dalam mengawal tempo permainan pada set kedua jelas terbukti apabila juara Malaysia Masters 2024 tersebut mengatasi gandingan China itu biarpun diasak hebat hingga ke penghujung perlawanan.
“Memang rasa gembira dan terharu kerana berjaya melangkah ke pentas separuh akhir di laman sendiri kerana semua peminat dan keluarga berada di sini,” kata Shevon sejurus tamat perlawanan sebentar tadi.
Kemenangan tersebut pastinya memberi suntikan semangat buat pasangan negara itu, yang kini bersedia untuk berdepan gandingan No. 57 dunia, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran dalam pertemuan separuh akhir esok.
“Saya pernah lawan mereka dua kali dan mereka berdua pada kejohanan ini begitu solid. Jadi, kami perlu bersiap sedia untuk menghadapi mereka. Biarpun mereka berdua baru digandingkan tetapi saya yakin akan menjadi perlawanan yang mencabar. Kami bukan hanya perlu persiapkan dari segi fizikal tetapi mentaliti juga,” tambah Shevon
Hasil kemenangan itu juga membolehkan Soon Huat-Shevon melebarkan tiga kemenangan dalam lima pertemuan dengan Cheng Xing-Zhang Chi, selepas kali terakhir pasangan negara itu menumpaskan pasangan China tersebut di Terbuka China pada September tahun lalu.
Pasangan negara ini kini dilihat semakin bersedia untuk menempah kejayaan lebih besar di laman sendiri terutama untuk mencipta gelaran pada kejohanan bertaraf Super 1000 tersebut sekali gus menamatkan kemarau 60 tahun beregu campuran mencipta kemenangan di Terbuka Malaysia.
Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia melangkah ke pentas separuh akhir adalah pada 2019 menerusi Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan kali terakhir pasangan campuran ke pentas final menerusi Chan Peng Soon-Goh Liu Ying pada 2016.
Kali terakhir beregu campuran meraih gelaran di laman sendiri pada tahun 1965 menerusi Teh Kew San-Ng Mei Ling. -KOSMO! ONLINE