KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memperkenalkan jadual bersepadu melibatkan kombinasi tren, bas dan van yang bakal meningkatkan kekerapan tren setiap 30 minit pada waktu puncak di laluan KTM Komuter Pelabuhan Klang-KL Sentral.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, jadual baharu tersebut akan berkuat kuasa pada 20 Januari manakala perkhidmatan bas dimulakan lebih awal iaitu pada 17 Januari.
Beliau berkata, penjadualan semula dilakukan agar aset dapat ditumpukan pada waktu puncak dan dalam masa sama, kerja-kerja melibatkan projek naik taraf Landasan Berkembar Elektrik Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2) dapat dilaksanakan lebih lancar.
“Untuk arah Pelabuhan Klang ke KL Sentral, tren akan beroperasi pada kekerapan 30 minit pada waktu puncak pagi dan waktu lain akan digantikan dengan bas pada kekerapan 30 minit.
“Bagi arah KL Sentral ke Pelabuhan Klang pula, tren akan beroperasi pada kekerapan 30 minit pada waktu puncak petang dan waktu lain akan digantikan dengan bas pada kekerapan 30 minit,” katanya ketika sidang akabar program Penambahbaikan Jadual Bersepadu KTM Komuter Laluan Pelabuhan Klang-KL Sentral, di sini hari ini.
Anthony berkata, selain mengurangkan masa menunggu dari 60 minit kepada 30 minit, penjadualan bersepadu turut mengurangkan masa perjalanan keseluruhan tren antara Pelabuhan Klang dan KL Sentral sehingga 15 minit.
“Merujuk kepada statistik taburan menerusi sistem aplikasi KITS, kita dapat melihat jumlah penumpang yang tinggi pada waktu pagi menuju ke Kuala lumpur manakala jumlah penumpang paling tinggi dari KL Sentral menuju kembali ke Pelabuhan Klang adalah pada waktu petang.
“Penjadualan berdasarkan data ini memastikan aset tren KTM boleh ditumpukan kepada waktu terdapat jumlah penumpang tinggi manakala bas boleh memberi perkhidmatan ketika jumlah penumpang lebih rendah,” katanya.
Dalam pada itu, sebanyak 22 unit bas perantara akan disediakan secara percuma bagi tempoh pelaksanaan projek KVDT2.
“Kekerapan setiap bas adalah 30 minit bergantung kepada keadaan trafik. Waktu ketibaan bas akan dipaparkan di stesen-stesen KTM berkenaan untuk memudahkan perjalanan penumpang.
“Bagi laluan dari stesen KTM Abdullah Hukum hingga Subang Jaya, pengguna boleh menggunakan perkhidmatan bas sedia ada dan juga laluan LRT Kelana Jaya,” katanya. – KOSMO! ONLINE