fbpx

Akses Simpanan Shariah KWSP lebih pantas, fleksibel mulai April

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini memperkenalkan dua ciri utama bagi kemudahan Simpanan Shariah dengan akses lebih pantas dan fleksibel untuk ahlinya berkuat kuasa 1 April 2025.

KWSP dalam kenyataan berkata, penambahbaikan itu membolehkan ahli baharu membuat pendaftaran Simpanan Shariah secara serta-merta, manakala tarikh kuat kuasa setiap awal bulan bagi semua ahli yang memilih untuk beralih kepada simpanan terbabit.

“Menerusi ciri baharu bagi pendaftaran Simpanan Shariah, ahli KWSP baharu kini boleh memilih simpanan itu sebagai akaun pilihan mereka semasa (melakukan) pendaftaran kendiri,” katanya.

Sebelum ini, perubahan kepada Simpanan Shariah hanya berkuat kuasa pada 1 Januari tahun berikutnya.

Namun, menerusi penambahbaikan ini, tarikh kuat kuasa akan jatuh pada hari pertama bulan berikutnya, tertakluk kepada tempoh tangguh selama tujuh hari, sekali gus membolehkan ahli beralih kepada akaun patuh syariah dengan lebih cepat.

“Pembaharuan ini dapat memendekkan lagi tempoh menunggu dari tahunan kepada bulanan dan memastikan pelaburan ahli patuh syariah dengan lebih awal.

“Penambahbaikan ini memberi ahli (dari segi kemudahan) kawalan dan fleksibiliti lebih besar, memudahkan mereka menguruskan simpanan persaraan selaras dengan keutamaan kewangan dan pilihan simpanan patuh syariah,” jelas kenyataan itu.

Dalam pada itu, KWSP akan melaksanakan penambahbaikan berdasarkan tempoh peralihan dari tarikh 25 Disember 2024 hingga 31 Mac 2025 bagi memastikan kelancaran inisiatif berkenaan.

“Tarikh kuat kuasa bagi ahli yang ingin beralih sebelum 25 Disember 2024 adalah pada 1 Januari 2025.

“Mereka yang memilih tempoh antara 25 Disember 2025 hingga 24 Mac 2025 pula akan menyaksikan tarikh kuat kuasa pada 1 April 2025 manakala bagi tempoh 25 Mac hingga 31 Mac 2025 pula adalah pada 1 Mei 2025,” tambah kenyataan itu.

Selain itu, bagi ahli yang beralih mulai 1 April 2025 dan seterusnya tarikh kuat kuasa adalah pada 1 haribulan berikutnya selepas tarikh membuat pilihan dengan tertakluk kepada tempoh tangguh selama tujuh hari.

“Sebagai contoh, ahli yang memilih untuk beralih ke Simpanan Shariah pada 15 April 2025, tarikh kuat kuasanya pada 1 Mei 2025.

“Jika ahli memilih beralih pada 25 April 2025, (maka) tarikh kuat kuasa pada 1 Jun 2025 dan bukannya 1 Mei 2025, setelah mengambil kira tempoh tangguh tujuh hari itu,” kata KWSP. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI