SHAH ALAM – Sebanyak 225 buah kenderaan Proton Holdings Bhd. akan digunakan sebagai kenderaan rasmi bagi delegasi utama sepanjang Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Proton Roslan Abdullah berkata, ini melibatkan 61 kenderaan elektrik (EV) pertama nasional, Proton e.MAS 7 dan 194 unit kenderaan utiliti sukan, Proton X70.
Katanya, semua penghantaran kenderaan itu akan dilengkapkan bulan ini.
“Semua model ini akan digunakan untuk tujuan pengangkutan mereka yang memegang jawatan tinggi dan penting sepanjang mesyuarat tersebut,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran bilik pameran Proton e.MAS 7 di EON Glenmarie, di sini hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemilihan e.MAS 7 sebagai kereta rasmi bagi mesyuarat ASEAN menunjukkan sokongan kerajaan terhadap pengeluaran kereta elektrik pertama negara oleh Proton.
Jelas Roslan, pihaknya komited untuk menonjolkan produknya selaras salah satu agenda Kepengerusian ASEAN-Malaysia yang mengutamakan teknologi hijau dan bebas karbon.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong dalam ucapannya menyatakan lebih 3,000 tempahan Proton e.MAS 7. diterima setakat semalam.
Ujarnya, ini didorong gabungan inovasi, kemampuan dan praktikaliti EV tersebut dengan EON Berhad sebagai pengedar teratas untuk wilayah tengah dan seluruh negara dengan merekodkan 271 tempahan.
“Jadi, kita akan melanjutkan rebat sebanyak RM4,000 kepada 3,000 pelanggan seterusnya. Justeru, 6,000 tempahan pertama akan menikmati tawaran eksklusif rebat dan lima pakej pelancarannya,” katanya. – KOSMO! ONLINE