GEORGE TOWN – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengeluarkan sebanyak 197 notis saman dan kesalahan teknikal terhadap kenderaan perdagangan menerusi Ops Gempur Teknikal di negeri ini, semalam.
Menerusi kenyataan di Facebook JPJ Pulau Pinang, Unit Operasinya telah melaksanakan penguatkuasaan khas gempur teknikal terhadap kenderaan perdagangan yang membawa lebih muatan melebihi had dibenarkan dan pelbagai kesalahan teknikal bermula pukul 11 malam hingga 7 pagi.
Menurutnya, menerusi operasi tersebut, sebanyak 10 buah kenderaan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 57(1) (b) (iv) APAD 2010 dan kesalahan di bawah Kaedah 89 MV (C&U) 1959.
“Kesalahan lain dikesan adalah tidak hadir timbang, bawa muatan secara bahaya, tidak tutup muatan dan tiada pemandu kedua (pemanduan bas ekspres/pelancong jarak jauh melebihi 300 km).
“Turut dikenal pasti adalah kesalahan teknikal seperti tayar haus berlebihan, lampu brek dan isyarat tidak berfungsi, pasang ‘strobe light’ tanpa kebenaran, ubah suai kenderaan dan tidak selenggara kenderaan dengan baik,” katanya di sini, hari ini.
Katanya lagi, penguatkuasaan tersebut bertujuan memastikan pemandu dan pengusaha kenderaan perdagangan mematuhi peraturan dan undang-undang yang berkuatkuasa di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya serta Akta Pengangkutan Awam Darat APAD 2010 (Akta 715).
Tambahnya, penguatkuasaan secara berterusan akan terus dilaksanakan bagi memastikan kadar kemalangan membabitkan kenderaan perdagangan dapat dikurangkan sekali gus dapat membudayakan kesedaran kepada pematuhan undang-undang dan memupuk rasa bersalah apabila melakukannya. – KOSMO! ONLINE