JOHOR BAHRU – Pasangan kekasih gelap berdepan hukuman mati selepas didakwa atas enam pertuduhan mengedar dan memiliki dadah di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Tertuduh, Noor Haimi Ayhari, 49, yang merupakan rakyat tempatan dan warga Singapura, Nur Anne Mohd. Hussin, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan tersebut.
Di hadapan Majistret A. Shaarmini, mereka berdua didakwa atas dua pertuduhan mengedar 62 gram (g) methamphetamine dan 39.4g kanabis di sebuah pangsapuri di Taman Damansara Aliff, di sini pada pukul 4.15 pagi, 31 Disember lalu.
Sementara itu, di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin pula, mereka didakwa mengedar 510g ganja di sebuah rumah di Jalan Larkin Perdana di sini pada pukul 6.20 pagi, hari sama.
Mereka berdepan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan.
Kedua-dua tertuduh masing-masing sudah berkahwin faham pertuduhan itu, namun tiada pengakuan direkodkan. Kedua-dua mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 10 Mac untuk sebutan semula sementara menunggu laporan kimia.
Di hadapan Majistret R Salini, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan yang dilakukan di apartmen Taman Damansara Aliff pada pukul 4.15 pagi, 31 Disember lalu dengan memiliki 3.8g heroin, 4.1g serbuk ekstasi dan 14g nitrazepam.
Noor Haimi dan Nur Anne juga masing-masing mengaku tidak bersalah secara berasingan di hadapan Salini dan Shaarmini atas tuduhan memasukkan methamphetamine ke dalam badan mereka pada pukul 10.13 pagi, 31 Disember lalu.
Pada masa sama, Nur Anne turut berdepan satu lagi pertuduhan dengan sengaja menghalang dua anggota polis di tepi jalan Persiaran Aliff Harmoni, Taman Damansara Aliff pada pukul 1 pagi, pada hari yang sama. – KOSMO! ONLINE