DUNIA seni tanah air bagaikan pentas lakonan tanpa henti. Belum reda babak pelawak tersohor dirantai isu dadah, kini skrin drama hiburan sekali lagi bergetar dengan kisah tragis keganasan rumah tangga.
Seperti deja vu yang tidak diminta, skrip sama berulang, cuma kali ini lebih kusut dan penuh plot ‘twist’ yang memualkan.
Minggu ini, nama Zahnita Wilson kembali menghiasi laman media dan bibir netizen.
Beberapa bulan lalu, pelakon juga model yang suatu ketika dahulu digelar ‘permata dunia fesyen’, membuka kisah pedih rumah tangganya, sebuah naratif penuh luka yang terpendam selama 20 tahun.
Pemilik nama penuh Zahnita Dorothy Hussein Wilson mendedahkan sudah tidak tahan dengan sikap suami panas baran yang secara tidak langsung mendorongnya meninggalkan dunia glamor untuk membina kehidupan di Kuantan.
Persoalan siapa mangsa, siapa pelaku keganasan bergetar kencang. Gambar mata lebam yang dimuat naik wanita berusia 40 tahun itu dalam Instagram seperti isyarat terakhir kepada dunia bahawa rahsia gelapnya tidak mampu disimpan lagi.
Perceraian akhirnya difailkan pada 3 Disember 2024, menandakan tamatnya era dua dekad penuh duri dalam hidupnya.
Namun, seperti sinetron epik yang disulami plot twist, kisah mereka jauh daripada penamat mudah.
Ketika sokongan dan simpati mengalir deras ke arah Zahnita, suaminya, Abd. Zackery Ghouse Abd. Gafor mengejutkan semua dengan pengakuan berbeza menukar warna cerita.
Lelaki 47 tahun itu mendakwa dia bukan suami kejam seperti yang digambarkan, sebaliknya mangsa keganasan rumah tangga selama hidup bersama Zahnita.
“Seluruh dunia anggap saya ini ‘monster’, pemukul isteri, penganiaya anak-anak, tetapi kebenarannya, saya ayah yang cuba melindungi keluarga” tegasnya.
Usahawan perlombongan itu mendakwa pergaduhan mereka pada November lalu bermula kerana Zahnita menyewa rumah untuk perniagaan makanan tanpa persetujuannya.
Helah terdesak
Impak tindakan tersebut, perhatian Zahnita terhadap keluarga makin menjauh, terutama kebajikan anak-anak mereka.
“Apabila bersuara, saya hanya mahu mempertahankan hak anak-anak saya yang kian diabaikan. Tidak lebih, tidak kurang,” katanya.
Zahnita bagaimanapun bukanlah wanita yang mudah tunduk, sebaliknya membidas tuduhan sang suami yang disifatkan helah terdesak seorang lelaki angkara terperangkap dalam realiti ciptaan sendiri.
“Saya menafikan semua dakwaan itu, saya tidak pernah memukulnya!” bidas Zahnita.
Dia turut menjelaskan bahawa latihan muay thai yang diikutinya sejak 2016 semata-mata untuk belajar seni mempertahankan diri, bukan untuk mencetuskan keganasan.
Baginya, keputusan memfailkan perceraian adalah langkah terakhir demi keselamatan diri dan anak-anak.
Kisah Zahnita dan Zackery ini ternyata lebih dramatik berbanding drama televisyen.
Setiap tuduhan dan dakwaan yang dilemparkan, bagaikan menyusun satu demi satu babak sinetron yang makin membelit akal.
Namun, di sebalik kekalutan dan simpati netizen, terselit ironi yang sukar dinafikan. Apa yang dilihat sebagai cinta sempurna selama dua dekad rupa-rupanya hanyalah topeng yang menutupi pelbagai luka dan rahsia gelap.
Kini, khalayak hanya mampu mendoakan pengakhiran kepada kisah yang masih kelam jalan kesudahannya.
Sesekali, kehidupan sebenar memang lebih tragik daripada kisah rekaan yang mudah fenomena untuk tontonan ramai, lebih pahit, skrip opera kehidupan adakalanya tidak bernoktah waima nyawa dijemput ajal.