SHAH ALAM – Seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) warga emas dihadapkan di Mahkamah Majistret, hari ini atas pertuduhan mencederakan anak perempuannya, Disember lalu.
Tertuduh, Rantheer Singh a/l Amar Singh, 68, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman.
Rantheer didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap anak perempuannya berusia 37 tahun di rumahnya di Seksyen U5 di sini, kira-kira pukul 8 malam pada 23 Disember lalu.
Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.
Sabit kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun tersebut memperuntukkan penjara sehingga setahun atau denda boleh sampai RM2, 000 atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu bagi Seksyen 326A pula, boleh dihukum pemenjaraan selama dua kali ganda tempoh hukuman yang ditetapkan di bawah seksyen sama disabitkan.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Sofea Jaysal mencadangkan jaminan sebanyak RM6,000 bersama seorang penjamin.
Namun, Peguam Amanda Sonia Mathew memohon jaminan rendah ekoran anak guamnya yang merupakan pemegang kad OKU kerana mempunyai masalah kesihatan tulang belakang.
“Anak guam saya juga tiada rekod lama, merupakan warga emas dan tidak bekerja,” jelasnya.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM1, 000 bersama seorang penjamin selepas mengambil kira usia dan masalah kesihatan tertuduh selain menetapkan semula kes pada 24 Februari depan. – KOSMO! ONLINE