KUALA LANGAT – Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) tidak berdaftar di Bandar Saujana Putra di sini, yang disita ekoran kematian bayi lelaki berusia empat bulan didapati tidak mematuhi nisbah ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak 2012.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Azmir Kassim berkata,, siasatan pihaknya mendapati hanya terdapat dua pengasuh yang menjaga 25 anak asuhan.
Katanya, jumlah tersebut jelas tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan JKM.
Ujarnya, peraturan menetapkan nisbah pengasuh hendaklah satu nisbah tiga (seorang pengasuh untuk tiga kanak-kanak di bawah satu tahun dan satu nisbah lima (seorang pengasuh bagi lima kanak-kanak berumur satu tahun hingga tiga tahun).
“Untuk 10 kanak-kanak berumur tiga tahun hingga empat tahun pula adalah seorang pengasuh bagi 10 kanak-kanak. Jelas, taska tersebut langsung tidak mengikut peraturan ditetapkan JKM,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, di sini hari ini.
Kosmo! semalam melaporkan, seorang bayi lelaki berusia empat bulan maut selepas dihantar ke sebuah taska tidak berlesen di Bandar Saujana Putra, Jumaat minggu lalu.
Susulan itu, arahan penutupan dan penyitaan telah dibuat JKM terhadap premis berkenaan.
Azmir menegaskan pihaknya turut mendapati pengusaha berkenaan gagal memastikan pengasuh yang dilantik mempunyai sijil Kursus Asuhan dan Didikan Awal Permata.
Tambahnya, ia berikutan hanya seorang daripada dua pengasuh mempunyai sijil tersebut dengan masing-masing berusia 20an.
“Justeru, kita mengingatkan taska yang beroperasi diwajibkan berdaftar dan memiliki lesen yang sah selain mematuhi Akta Taska.
“Kakitangan terlatih amat perlu bagi mengelakkan kejadian seumpamanya itu. Namun, yang menjadi masalah apabila terdapat taska-taska ini beroperasi dahulu sebelum memohon untuk mendapatkan lesen sah,” katanya. – KOSMO! ONLINE