PETALING JAYA – Lawatan Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba mencerminkan hubungan kukuh serta akrab antara Malaysia dan Jepun yang terjalin sejak sekian lama.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, terutamanya selepas hubungan dua hala itu dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada Disember 2023.
Beliau berkata, kerjasama erat ini memberi banyak manfaat kepada negara.
“Saya telah menghadiri Istiadat Sambutan Rasmi sempena Lawatan Rasmi TYT Shigeru Ishiba, Perdana Menteri Jepun ke Malaysia yang berlangsung di Dataran Perdana, Putrajaya.
“Jepun merupakan pelabur luar negara keempat terbesar dalam sektor pembuatan, dengan lebih daripada 2,800 projek pembuatan bernilai RM105.2 bilion dilaksanakan setakat Jun 2024,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Ahmad Zahid berkata, pelaburan itu bukan sahaja meningkatkan pertumbuhan ekonomi tetapi juga menjana peluang pekerjaan untuk ratusan ribu rakyat Malaysia.
“Pastinya dengan lawatan kali ini akan terus membawa kemajuan hubungan antara Malaysia dan Jepun, terutamanya dalam bidang perdagangan serta pelaburan.
“Saya yakin hubungan erat ini akan membuka lebih banyak peluang kerjasama baharu yang membawa manfaat besar kepada kedua-dua negara. Insya-Allah,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE