PETALING JAYA – Baru mengetahui rumah pelakon Farid Kamil bakal dilelong, penerbit Datuk David Teo sedia membeli kediaman yang dibayarkan deposit ketika pelakon tersebut menjayakan filem di bawah syarikat produksi miliknya tahun 2011.
Katanya, perasaan terkilan dirasai memandangkan kediaman dua tingkat berkembar itu merupakan hadiah bonus daripadanya kepada seramai 30 tenaga kerja syarikat miliknya, Metrowealth International Group (MIG).
“Memang saya hadiahkan wang pendahuluan untuk kediaman di Bandar Saujana Putra (BSP) itu kepada mereka yang terbabit dalam produksi saya sebagai bonus.
“Rugilah kalau rumah itu terpaksa dilelong kerana nilainya kini sudah dua kali ganda berbanding ketika dibeli lebih 10 tahun dahulu.
“Kalau dia ada masalah sepatutnya dia beritahu saya, saya boleh beli rumah itu ikut nilai yang dia mahukan. Kemudian mungkin saya boleh jual semula rumah itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.
Menurut David, dia difahamkan pengarah filem Remp-It itu tidak lagi tinggal di sana selepas menyewakannya kepada kenalan sekitar lima tahun lalu.
Bahkan akuinya, Farid ada menghubunginya sebelum ini namun hanya berbincang hal kerja, bukan berkongsi kisah peribadi terutama berkaitan hal kewangan.
“Kami memang tidak pernah bercerita perkara membabitkan peribadi, sebab itu saya tak tahu dia kalau dia berdepan masalah kewangan.
“Berhubung pun sebelum ini cuma berkaitan kerja selepas dia hubungi saya minta diberikan watak hero dan saya tawar dia berlakon dalam Bisikan Dosa.
“Selain dari itu memang saya tidak ambil tahu mengenai hal kehidupan peribadinya tambahan pula Farid orangnya bukan suka berkongsi hal privasi,” ujarnya.
Semalam tersebar berita mengenai sebuah rumah beralamat di BSP Jenjarom, Selangor di bawah nama Farid Kamil Zahari akan dilelong.
Menurut iklan yang tular dalam media sosial, lelongan dijadualkan berlangsung pada 22 Januari depan dengan harga permulaan RM522,000.
Pengurus Farid, Azahari Hamid mengesahkan kepada Kosmo! Online kediaman tersebut milik aktor itu.
Bagaimanapun, dia memaklumkan tunggakkan berlaku disebabkan penyewa yang sepatutnya membuat bayaran terus ke bank tidak berbuat demikian sejak pertengahan tahun lalu. – KOSMO! ONLINE