PETALING JAYA – Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) memperkenalkan bilik pameran utama bagi kenderaan elektrik (EV) Proton e.MAS di Glenmarie, Shah Alam.
Bilik pameran Proton e.MAS dengan keluasan 5,457 kaki persegi serta menggabungkan reka bentuk moden dan teknologi termaju ini mencerminkan sokongan EON terhadap usaha negara ke arah peralihan penggunaan EV.
Ia dilancarkan sempena penganjuran program EON & Festival Sahabat Permulaan Baharu 2025 yang berlangsung selama tiga hari, bermula hari ini.
Bilik pameran utama ini menawarkan kawasan paparan khusus buat model Proton e.MAS, zon perundingan untuk perkhidmatan yang diperibadikan serta operasi perkhidmatan terkini kepada pelanggan.
Dibuka dari Isnin hingga Sabtu bermula pukul 8.30 pagi hingga 5.30 petang, manakala pada Ahad dan cuti umum antara pukul 10 pagi hingga 4 petang.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif EON Berhad, Akkbar Danial berkata, pihaknya sangat teruja di atas pembukaan bilik pameran utama Proton e.MAS yang melambangkan visi EON untuk memainkan peranan utama dalam transformasi EV Malaysia.
“Ia juga mencerminkan komitmen kami terhadap inovasi, kemampanan dan menyampaikan perkhidmatan yang luar biasa kepada kami pelanggan,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, pelancaran hari ini mengukuhkan peranan EON sebagai pengedar utama Proton dan syarikat yang dipercayai.
“EON terus melabur dalam tenaga kerja, teknologi dan inovasi untuk menyampaikan perkhidmatan yang lancar.
“Pakar e.MAS terlatih akan membimbing pelanggan melalui pendidikan pemilikan EV, teknikal butiran, dan pilihan pembiayaan, menyediakan penyelesaian yang disesuaikan untuk setiap keperluan,” jelasnya.
Tambahnya, sejak penubuhan EON pada 1984, pihaknya telah berjaya menjual lebih dua juta unit kereta Proton. – KOSMO! ONLINE