fbpx

Dokumen termasuk CD berkaitan kes Zayn Rayyan diserah kepada pembelaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Allahyarham Zayn Rayyan.

PETALING JAYA – Pihak pendakwaan dalam kes pasangan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang didakwa mengabaikan anak mereka Zayn Rayyan Abdul Matiin memberitahu, semua dokumen berkaitan kes telah diserahkan kepada pihak pembelaan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin berkata keseluruhan dokumen yang diserahkan tersebut akan digunakan masa perbicaraan kelak.

“Setakat ini tiada lagi dokumen lain akan diserahkan. Senarai saksi termasuk pernyataan saksi sekiranya ada, akan diserahkan kepada peguam sebelum perbicaraan melalui e-mel. Justeru, saya pohon tarikh perbicaraan yang ditetapkan bermula 3 Februari depan dikekalkan,” katanya pada sebutan semula kes itu.

Sementara itu, peguam Haresh Mahadevan yang mewakili kedua-dua tertuduh, mengesahkan penerimaan laporan kimia dan cakera padat terbabit.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Hakim Mahkamah Sesyen Dr. Syahliza Warnoh mengekalkan tarikh perbicaraan kes yang telah ditetapkan sebelum ini iaitu pada 3 Februari ini.

Sebelum ini, mahkamah telah melapangkan tarikh perbicaraan pada 20 hingga 24 Januari dan perbicaraan akan bermula pada 3 hingga 7 dan 17 hingga 21 Februari sementara Mac bermula 10 hingga 14.

Pada prosiding terdahulu, Raja Zaizul pernah memaklumkan pihak pendakwaan memohon satu tarikh sebutan yang telah dipersetujui kedua-dua pihak untuk mengemaskini segala dokumen berkaitan kes itu sebelum perbicaraan.

“Cakera padat (CD) berkaitan kes belum diserahkan memandangkan ia masih berada pada pihak forensik. Pihak pendakwaan akan menyerahkan kesemua CD yang dipohon dan dokumen lain jika ada sebelum tarikh sebutan yang dicadangkan itu,” katanya.

Pada masa sama pendakwaan juga turut memaklumkam Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dikemukakan kedua-dua tertuduh.

Pada 13 Jun tahun lalu, Zaim Ikhwan dan Ismanira didakwa dan mengaku tidak bersalah mengabaikan anak mereka.

Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri berusia 29 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI