JOHOR BAHRU – Empat individu termasuk seorang pengarah dan setiausaha syarikat swasta ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki terlibat dalam kegiatan sindiket pemalsuan dokumen geran hak milik tanah.
Sumber SPRM Johor berkata, empat suspek lelaki berusia berusia antara 49 hingga 53 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Johor kira-kira pukul 11 malam semalam.
Difahamkan, tangkapan ke atas keempat-empat individu itu dibuat atas kesalahan pemalsuan dokumen yang mengandungi butir matan palsu di dalam urusan permohonan Hakmilik Sambungan (Geran Hilang) Seksyen 168 Kanun Tanah Negara (KTN).
“Permohonan itu adalah untuk mendapatkan geran hak milik yang baharu daripada Pejabat Tanah Dan Galian (PTG) Johor dan urusan pertukaran nama pemilikan di dalam geran membabitkan beberapa dokumen,” kata sumber berkenaan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE