PUTRAJAYA – Lebih 5.2 juta murid akan menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) secara berperingkat bermula Isnin depan.
Menurut Kementerian Pendidikan (KPM), agihan BAP akan diberikan kepada murid Tahun 1 hingga Tingkatan 4 bagi sesi persekolahan 2024/2025.
Katanya, penyaluran bantuan kepada murid Tingkatan 6 Semester 2 dan Tahun 1 sesi persekolahan 2025/2026 pula akan dilaksanakan mulai 16 Februari.
Jelasnya, bagi murid Tingkatan 6 baharu pula akan diagihkan bermula 1 Julai depan.
“Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM791,250 khusus untuk bayaran BAP sebanyak RM150 kepada setiap murid secara
one-off (sekali bayar) yang akan memberi manfaat kepada lebih 5.2 juta orang murid.
“Pada tahun ini, buat pertama kali inisiatif BAP akan turut diperluaskan kepada pelajar Tingkatan 6,” katanya dalam kenyataan hari ini.
KPM memaklumkan, agihan BAP ini akan dilakukan oleh pihak sekolah menggunakan kaedah serahan tunai kepada ibu bapa (sekolah rendah) atau ibu bapa atau murid bagi sekolah menengah.
Selain itu, kaedah pemberian dilaksanakan melalui pengkreditan ke akaun bank murid atau akaun bank ibu bapa yang dilaksanakan mulai tahun 2025.
“Inisiatif BAP menyerlahkan keprihatinan kerajaan untuk membantu meringankan beban perbelanjaan ibu bapa dan penjaga dalam menyediakan kelengkapan anak-anak bagi menghadapi sesi persekolahan yang bakal menjelang,” kata kenyataan sama. – KOSMO ONLINE!