JOHOR BAHRU – Dua suspek kes samun berkumpulan menggunakan senjata tajam ke atas sebuah rumah Taman Sri Treh, Muar,17 Disember tahun lalu akan didakwa di Mahkamah Majistret Muar, hari ini.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, kedua-dua suspek masing-masing berusia 34 tahun akan dituduh secara bersama atas tiga pertuduhan.
Katanya, mereka akan dituduh mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana rompakan berkumpulan bersenjata, Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata dan Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Salah seorang daripada mereka akan dituduh berasingan kerana melakukan jenayah di daerah Kota Tinggi iaitu mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan motor dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh rumah.
“Rakan wanita mereka yang berusia 35 tahun yang ditangkap bersama-sama pada 20 Disember tahun lalu di Sungai, Perak pula bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis pada tarikh sama ditangkap,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Kumar berkata, kejadian pada pukul 5.30 petang, 17 Disember 2024 itu telah menyebabkan seorang ahli perniagaan berusia 32 tahun dan bapanya, 60, mengalami kecederaan.
Katanya, beberapa rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) insiden itu turut tular di laman sosial yang menunjukkan dua suspek bertopeng menggunakan senjata parang dan sebatang besi kuku kambing memecah masuk rumah.
Suspek yang cuba melarikan diri bertindak menyerang kedua-dua mangsa dan berlaku pergelutan sehingga menyebabkan mangsa cedera di tangan, bahu dan kaki serta mengalami kerugian kira-kira RM3,500. – KOSMO! ONLINE