SHAH ALAM – Gara-gara pandemik Covid-19, pasangan warga emas bersama dua cucunya di Batu 13, Kampung Tengah, Puchong terpaksa makan nasi berlauk kicap dan telur bagi mengalas perut lebih seminggu lalu sebelum dibantu Lembaga Zakat Selangor (LZS) kelmarin.
Kisah sedih yang menimpa pasangan warga emas itu bermula apabila anak, menantu dan seorang lagi cucu mereka menjalani kuarantin di Hospital Sungai Buloh selepas disahkan positif Covid-19.
Jangkitan itu diperoleh anak perempuan mereka di sebuah kilang di USJ, Subang Jaya yang merupakan tempat kerjanya.
Jatimah Mahat, 58, berkata, keadaan itu menyebabkan mereka terpaksa menjalani kuarantin di rumah sehingga menyukarkan mendapatkan bekalan makanan.
Katanya, dia juga terpaksa menjaga suaminya berusia 83 tahun yang uzur akibat sakit tua selain dua cucunya berusia tujuh dan 11 tahun.
“Saya bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah dan tidak dibenarkan kerja oleh majikan kerana kontak rapat dengan anak yang positif Covid-19.
“Jadi, sepanjang tempoh seminggu lalu, kami hanya makan berlauk kicap dan telur,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Kelmarin, kisah sedih keluarga ini tular di akaun Facebook LZS yang menyalurkan bantuan bekalan makanan kepada keluarga tersebut.
Mengulas lanjut, Jatimah berkata, dia sememangnya menerima bantuan LZS sebanyak RM400 sebulan dan sewa rumah RM750 juga ditanggung pihak berkenaan sejak tahun 2010.
Menurutnya, sejak kisah mereka tular di media sosial, pelbagai pihak tampil menghantar bekalan makanan termasuk daripada pihak pengurusan Masjid Nurul Iman, Kampung Tengah, Puchong.
“Hari ini (semalam) sepatutnya gelang warna merah jambu saya bersama suami dan cucu akan dipotong.
“Namun, alangkah terkejut apabila dimaklumkan kami positif Covid-19 susulan ujian saringan kali kedua dan perlu terus menjalani kuarantin di rumah,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan sila hubungi Jatimah di talian 011-2320 1447.