BOLEH dikatakan, sebilangan besar ibu bapa pada masa kini berhadapan masalah anak-anak ketagihan gajet terutama telefon pintar. Perkara ini membuatkan ramai ibu bapa resah dan risau kerana jika tidak dicegah segera, ia boleh mencetuskan masalah lebih besar pada masa akan datang.
Tidak dapat dinafikan, kehidupan sekarang memerlukan gajet, dan kebanyakan ibu bapa akan mendedahkannya kepada anak-anak seawal usia.
Namun, jika tersilap percaturan dan tanpa kawalan yang sewajarnya, ia akan memberi kesan buruk kepada anak-anak seperti ketagihan.
Gajet juga sering dijadikan sebagai jalan keluar oleh ibu bapa untuk ‘mendiamkan’ anak-anak kecil daripada menangis ketika keluar berjalan-jalan mahupun di meja makan.
Oleh itu, pada minggu ini, K-Wanita berkongsi lima tip sebagai panduan kepada ibu bapa untuk mengatasi masalah ketagihan gajet dalam kalangan anak-anak.
1. Luangkan masa bersama anak
WALAUPUN kita sibuk bekerja, itu bukan alasan untuk membiarkan anak-anak bersama telefon terlalu lama. Hal ini kerana mereka memerlukan keberadaan ibu bapa untuk memberi kasih sayang, panduan dan bimbingan.
Luangkan masa bersama anak-anak, bertanya khabar, beriadah ataupun bermain permainan menyeronokkan di rumah. Dengan cara ini, hubungan kekeluargaan juga akan bertambah erat dan anak-anak dapat melupakan gajet seketika.
Selain itu, aktiviti riadah bersama keluarga dapat membantu anak-anak berkomunikasi dengan lebih baik, begitu juga dalam hubungan sosial dan perkembangan pemikiran.
2. Hadkan masa penggunaan gajet
IBU bapa perlu menetapkan undang-undang penggunaan gajet bagi memastikan anak-anak tidak menggunakannya secara berlebihan.
Langkah ini juga menjadikan anak-anak lebih berdisiplin dan menghargai masa dengan mengisi aktiviti berfaedah yang lain.
Sebagai contoh, hadkan masa bermain gajet kurang 20 minit pada satu-satu masa bagi mengelak anak-anak terlalu leka dan menjadi ketagih.
3. Jangan biarkan anak bermain seorang diri
PENTING untuk ibu bapa sentiasa mengawasi anak-anak ketika bermain gajet terutamanya telefon pintar. Ini bagi mengelakkan mereka tidak hanyut dalam dunia sendiri sehingga menyebabkan ketagihan.
Kesilapan ibu bapa adalah membiarkan anak-anak bermain gajet seorang diri. Jangan jadikan gajet sebagai jalan keluar supaya anak-anak tidak mengganggu anda ketika bekerja atau melakukan apa-apa tugasan di rumah.
Kanak-kanak yang bermain gajet seorang diri dibimbangi akan membuka laman web tidak sepatutnya seperti pornografi dan keganasan.
4. Beri ganjaran
APABILA anak-anak mematuhi peraturan yang ditetapkan, ibu bapa boleh memberi ganjaran untuk menggalakkan mereka terus berbuat baik dan menurut arahan. Ganjaran boleh berbentuk apa sahaja yang disukai mereka seperti mainan atau bercuti.
Selain itu, jangan lupa memberi pujian supaya mereka terus bersemangat mengikuti segala peraturan yang ditetapkan oleh ibu bapa.
Walaupun pada awalnya sangat sukar, namun apabila dilakukan secara berterusan, ia akan menjadi sebati dalam diri anak-anak.
5. Ibu bapa teladan yang baik
ANAK-ANAK diibaratkan kain putih dan ibu bapa perlu mencoraknya menerusi tunjuk ajar, bimbingan serta teladan.
Oleh itu, bukan sahaja meminta anak-anak menuruti arahan diberikan, tetapi sebagai ibu bapa, anda juga perlu menunjukkan contoh yang baik.
Mana mungkin anak-anak menuruti arahan anda supaya berhenti bermain telefon jika ibu bapa 24 jam bersama peranti tersebut.
Sudah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menunjukkan contoh terbaik seperti tidak menggunakan telefon ketika di meja makan, semasa bersama keluarga atau melakukan sebarang aktiviti di rumah.