fbpx

Rapid KL lancar tren, bas bertemakan adiwira Mechamato

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dari Sekolah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn (2) diraikan pada majlis pelancaran tren dan bas bertemakan Mechamato di Kuala Lumpur semalam.

PETALING JAYA – Rapid KL telah melancarkan tren dan bas bertemakan ikon adiwira­­ ­Malaysia iaitu Mechamato sebagai inisiatif terbaharu syarikat untuk menarik minat generasi muda, khususnya kanak-kanak berumur enam hingga 12 tahun, serta golongan Generasi Z terhadap ikon budaya pop tempatan sambil merancakkan penggunaan pengangkutan awam.

Ketua Pegawai Operasi Rapid Rail (LRT), Nor Azmi Mohd Yusof berkata, pelancaran sulung tren dan bas pertama bertema Mechamato ini mahu meningkatkan kesedaran tentang penggunaan pengangkutan awam dan menawarkan pengalaman perjalanan yang lebih kreatif dan menyeronokkan khususnya bagi golongan muda.

Menerusi kerjasama ini, sebanyak tiga buah tren dan tiga buah bas dibalut dengan pelekat bertemakan Mechamato.

“Dengan pelancaran tren dan bas bertema ini, Rapid KL berharap dapat menjadikan pengalaman menggunakan pengangkutan awam lebih menarik dan menyeronokkan.

“Ia juga dapat menarik minat khususnya kanak-kanak yang mungkin belum pernah menggunakan pengangkutan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang diedarkan bersempena majlis pelancaran tren dan bas yang bertemakan ikon adiwira tersebut di sini semalam.

Majlis pelancaran ini turut diserikan dengan kehadiran pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dari Sekolah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn (2).

Rapid KL berharap, kempen seperti ini dapat meningkatkan jumlah pengguna bas dan rel terutamanya dalam kalangan ge­nerasi muda dan orang kelainan upaya (OKU) kerana semua fasi­liti bersifat universal akses yang mesra OKU.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Monsta, Kee Yong Pin menerangkan, inisiatif kerjasama ini memberi peluang kepada syarikat untuk memberi peluang kepada masyarakat untuk melihat Mechamato dengan lebih dekat lagi di dalam tren dan bas Rapid KL.

”Kami berharap kerjasama ini dapat menggalakkan lagi penggunaan pengangkutan awam di kalangan masyarakat, khususnya kanak-kanak dan ke­luarga, serta menanam rasa bangga terhadap pencapaian karya tempatan di pentas global,” jelas beliau.

Selain itu, bersempena pelancaran tersebut, Rapid KL menganjurkan aktiviti Ride & Catch: Robot Hunt with Mechamato bermula dari 7 Januari sehingga 31 Mei ini.

Pengguna Rapid KL yang membeli pas harian MyCity boleh mendapatkan pasport stamp-rally khas di stesen terpilih yang mana dengan mengumpulkan sekurang-kurangnya 12 cop dari 15 stesen, pengguna berpeluang menebus hadiah eksklusif MechaTrain selepas memburu robot jahat.

Sesi bertemu peminat bersama Mechamato di stesen terpilih bakal berlangsung sepanjang bulan Januari hingga Mei 2025.

Tarikh dan lokasi sesi ini akan dimaklumkan menerusi platform media sosial Rapid KL.

Ia bertujuan untuk membo­lehkan peminat berfoto bersama adiwira kegemaran mereka. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI