fbpx

Reka semula rantaian bekalan industri kosmetik halal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Produk yang mendapat pensijilan halal mampu menjadi pemacu kepada peningkatan jualan dan keyakinan pelabur dari luar negara. -Gambar hiasan

PETALING JAYA – Ketika saiz pasaran kosmetik halal di negara ini diramalkan meningkat pesat daripada anggaran AS$3.64 bi­lion (RM16.36 bilion) kepada le­bih AS$8.5 bilion (RM38.2 bilion) menjelang 2032, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kosmetik tempatan dilihat berdepan kesukaran dalam mendapatkan bahan halal untuk mengekalkan operasi.

Pengarah Unit Penyelidikan Keselamatan Makanan, Inovasi dan Pembangunan, Universiti Utara Malaysia, Prof. Madya Dr. Risyawati Mohamed Ismail berkata, antara cabaran terbesar pengeluar kosmetik tempatan adalah beban kewangan untuk mendapatkan bahan mentah yang disahkan halal dalam kuantiti yang kecil.

”Pembekal proaktif dalam ­menyediakan sijil halal untuk semua bahan mentah yang diperlukan bagi pembelian pukal, namun pengilang kecil bergelut untuk mendapatkan bahan sama dalam kuantiti yang lebih kecil.

”Pengilang yang menghasilkan kosmetik dalam kelompok kecil tidak mampu membeli bahan mentah dalam kuantiti ba­nyak kerana kekangan kewangan, manakala penyimpanan bahan berlebihan dengan tarikh luput melibatkan risiko kerugian ketara, melebihi prestasi perniagaan yang dijangkakan.

”Kebanyakan pembekal melihat proses membungkus semula bahan mentah pukal kepada kelompok kecil ini sebagai rumit, mendatangkan pelbagai cabaran teknikal dan memerlukan pengurusan logistik tambahan yang meningkatkan kos.

”Walaupun terdapat pembekal yang bersedia untuk membungkus semula, ramai yang tidak mempunyai pensijilan halal yang diperlukan untuk fasiliti dan proses pembungkusan semula,” katanya dalam kenyataan.

Risyawati berkata, pendekatan strategik baharu yang menggalakkan pengeluar tempatan beralih daripada menghasilkan produk kosmetik siap kepada proses pengilangan menghasilkan bahan mentah kosmetik halal boleh memberi penyelesaian kepada masalah ini.

Pengeluaran domestik bahan mentah untuk industri kosmetik halal akan mengurangkan pergantungan kepada bahan mentah import yang mahal dan menjamin integriti bekalan bahan mentah halal.

Malah, pertumbuhan sub industri ini mampu menggalakkan lagi aktiviti inovasi serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam kalangan perusahaan lokal dan menyuburkan penggunaan sumber tempatan sebagai input kepada industri kosmetik Malaysia.

”Kekuatan sistem pelaksa­naan halal menjamin Malaysia sebagai pemain utama dalam pasaran global untuk pelbagai produk halal termasuk bahan mentah, yang jelas menjadi tarikan pembeli antarabangsa dalam mencari pembekal boleh dipercayai.

”Ketersediaan bahan mentah yang diperakui halal pada harga mampu milik memberi sumber alternatif menarik untuk pengilang kecil bagi meningkatkan pengeluaran dan membangunkan produk inovatif.

”Peralihan pengilang tempatan daripada pengeluar kosmetik kepada pengilang bahan mentah industri kosmetik juga mampu mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih besar, menggalakkan pelaburan dan mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai pe­neraju ekonomi halal,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI