KUALA LUMPUR – Beregu campuran No. 1 negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dijangka menggalas misi cukup sukar apabila dijadualkan menentang Hiroki Midorikawa-Natsu Saito dari Jepun.
Atas kertas, Tang Jie-Ee Wei dilihat memiliki peluang cukup cerah untuk mara ke pusingan separuh akhir kerana pernah menewaskan pasangan Jepun itu sebanyak tiga kali dalam lima pertemuan.
“Apa yang berlalu biarkan berlalu tetapi sebagai atlet, kita tidak mahu kalah, begitu juga mereka. Kami hanya buat perkara rutin sahaja dan paling penting, jangan fikir mengenai esok (hari ini) dahulu,” ujar Tang Jie.
Kejayaan melangkah ke suku akhir menyaksikan Tang Jie-Ee Wei mengulangi pencapaian pada edisi 2023 sebelum mereka tewas 19-21, 9-21 kepada beregu Thailand, kepada Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai.
Sementara itu, beregu No. 5 dunia tersebut menganggap mereka berdepan cabaran sukar walaupun menang mudah 21-8, 21-14 ke atas Lu Min Che-Hung En Tzu dari Taiwan pada pusingan kedua Terbuka Malaysia semalam.
Pada perlawanan yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, naib juara Jelajah Dunia Akhir 2024 itu langsung tidak memberikan ruang buat pasangan lawan apabila menang dalam tempoh 30 minit sahaja.
Bagaimanapun, Tang Jie berkata, mereka masih berdepan kesukaran pada perlawanan itu kerana perlu memastikan tahap fizikal berada dalam keadaan terbaik selain mengekalkan fokus di gelanggang.
“Perlawanan tadi (semalam) memang sukar dan letih kerana kami juga perlu fikirkan mengenai kualiti permainan. Kami perlu berikan sepenuh fokus dari segi mental dan fizikal kerana setiap perlawanan sangat mencabar.
“Walaupun kami menang dengan perbezaan mata cukup jauh di set pertama tetapi mereka tetap ada kelebihan tersendiri. Selain itu, kami juga cuba mengurangkan kesilapan mudah di atas gelanggang,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan. – KOSMO! ONLINE