fbpx

Khairuddin fail saman pemula terhadap Muhyiddin, Kerajaan Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Bekas penyelaras Parlimen Jasin Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan memfailkan saman pemula terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kerajaan Malaysia bagi mencabar tindakan Muhyiddin itu menasihati Yang di-Pertuan Agong pengisytiharan Proklamasi Darurat.

Khairuddin, selaku plaintif memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini menerusi Tetuan Law Practice of Rafique dengan menamakan Muhyiddin dan Kerajaan Malaysia masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua.

Dalam saman pemula itu, Khairuddin memohon mahkamah memutuskan empat persoalan keperlembagaan, antaranya sama ada nasihat seorang perdana menteri yang didakwa telah hilang kepercayaan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat untuk mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi satu pengisytiharan Proklamasi Darurat adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan.

Selain itu Khairuddin memohon mahkamah memutuskan sama ada nasihat bagi pengisytiharan Proklamasi Darurat oleh perdana menteri kepada Yang di-Pertuan Agong itu telah dibuat ‘in fraudem legis’ yang mana ketika memberi nasihat itu beliau didakwa telah hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk terus kekal sebagai perdana menteri.

Plaintif turut memohon mahkamah memutuskan sama ada mesyuarat jemaah menteri yang diketuai perdana menteri yang didakwa telah hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk mencadangkan Proklamasi Darurat kepada Yang di-Pertuan Agong adalah tidak sah dan tidak berpelembagaan.

Selain itu, memohon mahkamah memutuskan sama ada penggantungan sidang Parlimen sehingga 1 Ogos 2021 oleh seorang perdana menteri yang didakwa telah hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat adalah tidak sah dan tidak berlembagaan.

Sementara itu menerusi afidavit sokongan yang difailkan bersama saman pemula itu, Khairuddin mendakwa pada 9 Januari lalu, Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob telah mengumumkan penarikan sokongannya terhadap Muhyiddin selaku perdana menteri dan akibatnya Muhyiddin hanya mempunyai kepercayaan seramai 110 Ahli Dewan Rakyat daripada 220 jumlah keseluruhan Ahli Dewan Rakyat.

Menurut Khairuddin, Dewan Rakyat pada masa ini mempunyai 220 Ahli Parlimen berikutan kematian Ahli Parlimen Batu Sapi Datuk Liew Vui Keong dan Ahli Parlimen Gerik Datuk Hasbullah Osman.

Plaintif mendakwa, dengan hanya memiliki sokongan 110 Ahli Dewan Rakyat berbanding jumlah minimum 111 sokongan yang diperlukan, maka Muhyiddin telah hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk terus kekal sebagai perdana menteri.

Justeru, Khairuddin mendakwa, nasihat yang diberikan oleh Muhyiddin kepada Yang di-Pertuan Agong pada 11 Januari lalu untuk Pengisytiharan Proklamasi Darurat adalah tidak sah dan tidak berlembagaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI