KUALA LUMPUR – UDA Holdings Bhd. (UDA), peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset, telah meraikan seramai 700 pelajar daripada keluarga kurang bernasib baik untuk menerima barangan keperluan persekolahan.
Program Back to School 2021 yang dianjurkan oleh bahagian tanggungjawab sosial korporatnya, UDA Cares Educational itu telah berlangsung di Semenanjung Malaysia melalui anak syarikatnya di Pulau Pinang, Perak, Pahang, Johor dan Negeri Sembilan.
Pengerusinya, Datuk Jalaluddin Alias berkata, sumbangan berupa set lengkap baju dan kasut, beg sekolah, alat tulis, topeng muka serta pembersih tangan itu bertujuan untuk membantu pelajar lebih bersedia dan bersemangat bagi memulakan sesi persekolahan pada tahun ini.
“Berbeza dengan program sebelumnya, pada tahun ini pihak UDA tidak berpeluang membawa pelajar tersebut membeli-belah tetapi kali ini, pelajar akan menerima RM160 wang tunai dan membeli pakaian serta kasut sekolah sendiri mengikut saiz yang dikehendaki.
“Ini bertujuan untuk membendung jumlah kes yang tinggi dan mengelakkan perhimpunan dalam jumlah yang ramai,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Jalaluddin menerangkan, sempena menyambut ulang tahun UDA ke-50, pelbagai aktiviti dirancang dan sebahagiannya adalah bantuan kepada komuniti khususnya sewaktu Covid-19.
“Sejak Mac tahun lalu, UDA telah menyalurkan sumbangan secara konsisten kepada pelbagai pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam usaha membendung Covid-19.
“Sehingga kini, UDA telah menyumbang sebanyak RM20 juta dalam bentuk insentif untuk usahawan yang menyewa di kompleks beli-belah di bawah seliaan UDA yang meliputi pengecualian dan/atau diskaun sewa,” jelasnya.