DUBAI, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) – Ketika dunia mengetatkan sekatan bagi mengekang penularan koronavirus, Dubai membuka pintunya kepada pelancong asing sebagai destinasi bebas kuarantin di sebalik mencatat peningkatan kes Covid-19.
Walaupun pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal diwajibkan, kehidupan di emiriyah tersebut berjalan seperti biasa tanpa sekatan dengan restoran dan pusat beli-belah dibuka kepada orang ramai.
Imej kereta sport dan personaliti televisyen berseronok di kelab tepi pantai dan bar di Dubai memenuhi media sosial dan kalang kala disusuli kecaman netizen di tanah air mereka.
Turut menyumbang kepada kemasukan pelancong adalah syarikat penerbangan Emirates yang menggunakan khidmat pesawat komersial terbesar dunia, Airbus A380 untuk mengangkut pelawat dari Britain dan Rusia.
Pelancong Rusia, Dmitriy Melnikov berkata, dia datang ke Dubai kerana pilihannya terhad ekoran banyak destinasi melaksanakan perintah berkurung separa atau penuh.
“Tidak, saya tidak takut. Jika anda lihat orang ramai di sini (Dubai), mereka memakai pelitup muka, saya fikir ia ranggi,” kata pelancong berumur 30 tahun itu kepada agensi berita AFP.
Bagaimanapun, kesan buruk kerana menjadi destinasi antara paling terbuka di dunia itu adalah peningkatan kes koronavirus.
Bilangan kes harian Covid-19 di UAE adalah antara 3,000 hingga 3,500. Negara yang mempunyai kurang 10 juta penduduk itu juga merekodkan 745 kematian akibat Covid-19 sejak pandemik bermula awal tahun lalu.
“Risiko besar menanti jika Dubai terus membuka pintunya.
“Penularan baharu wabak Covid-19 akan memadamkan manfaat ekonomi yang diperoleh,” kata pakar ekonomi, Scott Livermore
Selepas mendapat keputusan negatif ujian Covid-19 di negara asal mereka, pelancong bebas memasuki Dubai yang kini mengalami musim sejuk dengan suhu nyaman pada purata 25 darjah Celsius.
Sektor pelancongan sudah lama menjadi nadi ekonomi Dubai yang menerima kehadiran 16 juta pelancong pada 2019. –AFP