BRASILIA – Pengguna jalan raya di negeri Mato Grosso, Brazil terkejut melihat seekor ular anaconda gergasi mati akibat digilis di sebuah lebuh raya dengan perutnya terburai, lapor akhbar The Sun UK kelmarin.
Penemuan mengerikan itu berlaku di Lebuh Raya MT-338 di Porto dos Gauchos pada Isnin lalu.
Rakaman video kejadian yang dimuat naik di platform YouTube memaparkan perut anaconda hijau sepanjang 5 meter itu terbelah dan mengeluarkan kira-kira 40 ekor anaknya.
Anak-anak ular tersebut berukuran lebih 30.48 sentimeter, menunjukkan anak haiwan itu hampir hendak dilahirkan.
Reptilia itu mati digilis kereta ,menyebabkan perutnya pecah dan mengeluarkan kandungannya ke atas jalan.
Tiada anak ular yang terselamat dalam kejadian itu, baru-baru ini.
Seorang penduduk tempatan dikenali sebagai Ederson Negri Antonioli berkata: “Klip video kejadian dirakam oleh rakan saya semasa dia dalam perjalanan pulang dari memancing ikan.
“Dia menemukan kejadian yang jarang berlaku itu dan merakamnya,” tambah Antonioli. –AGENSI