MADINAH – ‘Hati rasa sayu apabila terpaksa tinggalkan Mekah dan Madinah. Kenangan mengerjakan umrah dan ziarah ini adalah yang paling indah dalam hidup kami’
Demikian kata Fadilawanis Zakaria, 30, salah seorang peserta program Umrah Percuma Anak Muda Jati Kelantan tajaan syarikat pengendali umrah dan haji, Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia).
Katanya, paling sayu apabila terpaksa meninggalkan Mekah selepas selesai menunaikan umrah untuk ke Madinah.
“Hari ini kami sedih lagi apabila bakal meninggalkan bumi Madinah dan rata-rata mengalirkan air mata ketika melakukan ziarah selamat tinggal kepada Rasulullah SAW di Masjid Nabawi,” katanya di sini hari ini.
Ujarnya, dia sudah merindukan Mekah dan Madinah walaupun belum menaiki penerbangan pulang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang dijadualkan pada pukul 9.30 malam ini (waktu Arab Saudi).
“Terima kasih Andalusia kerana menaja umrah kami secara percuma dan bagi saya semuanya sempurna. Kenangan dan pengalaman sepanjang mengerjakan umrah dan ziarah di kawasan sejarah Rasulullah adalah yang paling indah dalam hidup saya,” jelasnya.
Seorang lagi peserta, Ezzah Najihah Abd. Razak, 22, berkata, dia berazam untuk kembali semula ke Mekah untuk mengerjakan umrah dan melakukan ziarah.
“Ketika ini saya sudah rindukan saat-saat mengerjakan umrah bersama rakan-rakan. Insya-Allah ada rezeki saya mahu mengerjakan umrah lagi selepas ini,” katanya.
Kesemua anak muda Kelantan itu merupakan kumpulan pertama ditaja menunaikan umrah secara percuma oleh Andalusia setelah lulus solat berjemaah di Masjid Imanul Faizin di Kelantan selama 30 hari tanpa gagal atau 90 waktu bagi waktu solat maghrib, isyak dan subuh.
Andalusia berbesar hati menawarkan tajaan pakej umrah itu kepada 200 anak muda jati Kelantan menerusi program Umrah Percuma Anak Muda Jati Kelantan. – KOSMO! ONLINE