SHAH ALAM – Kegiatan sebuah kilang menguruskan sisa elektronik dan bahan buangan secara haram di Sungai Kandis di sini, tumpas selepas digempur pihak berkuasa malam tadi.
Serbuan kira-kira pukul 8.30 malam itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Bukit Aman dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.
Komander PSP Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Rosli Md. Yusof berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat mengenai aktiviti pengurusan sisa haram yang menjejaskan alam sekitar dan kesihatan awam.
“Pelbagai peralatan dan bahan yang digunakan untuk aktiviti pemprosesan sisa elektronik disita bagi tindakan lanjut.
“Sitaan antaranya melibatkan mesin Pyrolysis, bateri terpakai, kabel, komponen komputer, tayar terpakai dan aluminium dianggarkan mencecah RM21.6 juta,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, seramai 19 individu warga asing China, Myanmar dan Bangladesh berusia 25 hingga 45 tahun ditahan bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE