PUTRAJAYA- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lapan individu termasuk pengarah agensi kerajaan selain tiga pengarah syarikat lain selepas disyaki bersubahat dalam urusan kelulusan lesen kenderaan perdagangan (LKP).
Menurut sumber, kesemua suspek berusia dalam lingkungan 30 hingga 50-an ditangkap di beberapa lokasi di Melaka dan Lembah Klang.
Penahanan itu dibuat menerusi Op Loader yang dijalankan Bahagian Perisikan SPRM pada pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari tadi.
Katanya, kesemua suspek yang ditahan disyaki terbabit dalam kegiatan mendapatkan surat tawaran kelulusan LKP daripada sebuah agensi tanpa memenuhi syarat yang ditetapkan Kementerian Pengangkutan.
“Syarikat ini dipercayai bersekongkol dengan pegawai agensi berkenaan dengan menyediakan maklumat palsu bagi mendapatkan surat tawaran kelulusan permohonan baharu LKP Kelas Lesen Pembawa,” katanya.
Sumber berkata, mereka dibayar kira-kira RM3,500 bagi setiap permohonan tersebut.
“Pihak syarikat akan membantu mana-mana pihak memalsukan dokumen seperti penyata bank dan menguruskan proses permohonan termasuk Surat Tawaran Kelulusan (STK) dan Surat Kelulusan Lanjut Usia (SKLU) bagi membolehkan kenderaan itu menjalani pemeriksaan awal.
“Berdasarkan risikan, bayaran dikenakan sebanyak RM3,000 hingga RM20,000 bergantung kepada jenis dan usia kenderaan serta keupayaan syarikat yang ingin memperolehi LKP,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009.
Kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini esok untuk proses permohonan reman. – KOSMO! ONLINE