SHAH ALAM – Pelaksanaan ujian air kencing sebelum memasuki konsert dicadangkan hanya dilaksanakan kepada individu yang menimbulkan syak sahaja.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, ini adalah sebahagian daripada langkah awal bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua pihak yang menghadiri acara hiburan di negeri ini.
“Sebagai contoh, sekiranya terdapat individu yang membawa barangan dilarang seperti bahan terlarang atau dadah, pihak berkuasa dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhak mengambil tindakan sewajarnya.
“Justeru, pemain industri tidak perlu bimbang, prosedur operasi standard (SOP) memasuki konsert adalah seperti biasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan saringan ujian air kencing sebelum menonton konsert di Selangor antara syor yang dipertimbangkan kepada pengunjung bagi mengelakkan pengambilan dadah.
Suee Lim menegaskan, bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini berulang, pemantauan perlu diperketatkan lagi serta kerjasama dari pihak berkuasa dan PDRM amat diperlukan.
Jelasnya, kerajaan negeri sentiasa komited untuk menjadikan negeri ini sebagai destinasi pilihan pelancong sama ada dari dalam atau luar negara dengan sasaran lapan juta pelawat sempena Tahun Melawat Selangor 2025.
“Kerajaan negeri juga mengamalkannya dasar progresif dan inklusif serta terbuka mengalukan semua penganjuran konsert hiburan yang sihat.
“Seterusnya mengembangkan industri pelancongan serta memberikan impak positif menjana ekonomi Selangor,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya terbuka dengan sebarang maklum balas dan pandangan yang bernas daripada pihak berkepentingan terutama penggiat industri.
“Ini demi memastikan usaha ini dapati dilaksanakan secara harmoni dan mengambil kira kepentingan semua pihak,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE