HANOI – Polis Hanoi mendenda seorang pemandu ambulans sebanyak 60 juta dong (RM10,600) kerana menyalahgunakan kenderaan itu untuk meraikan kemenangan Vietnam sebagai juara bola sepak Piala ASEAN, lapor laman berita VNExpress semalam.
Dia didenda oleh polis semalam kerana menggunakan kenderaan itu bukan untuk tujuan kecemasan, memandu di bawah pengaruh alkohol dan tidak mempunyai dokumen yang sah.
Pada malam Ahad lalu, berikutan kemenangan Vietnam 3-2 ke atas Thailand untuk menggondol Piala ASEAN, lelaki tersebut menggunakan ambulans untuk mengangkut peminat-peminat bola sepak sebagai sebahagian ‘perayaan’ untuk meraikan kejayaan itu.
Pintu belakang kenderaan itu terbuka ketika ambulans tersebut bergerak di jalan raya.
Polis memberhentikan kenderaan itu di Jalan Nghiem Xuan Yem, daerah Hoang Mai dan menjalankan pemeriksaan.
Ujian kandungan alkohol mendedahkan kepekatan bahan itu dalam darah pemandu tersebut adalah 0.514 miligram seliter. – AGENSI