MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola tidak berminat untuk memikirkan peluang untuk merampas takhta pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) daripada jiran setempat, Manchester United.
City kini dilihat berada pada landasan tepat untuk memintas United apabila melonjak ke tangga kedua hasil kemenangan bergaya 4-0 ke atas Crystal Palace pada aksi EPL di Stadium Etihad awal pagi semalam.
Walaupun ketinggalan dua mata dengan United tetapi The Citizens mampu memintas The Red Devils untuk menghuni tangga teratas liga berdasarkan kelebihan satu perlawanan dalam tangan mereka ketika ini.
“Ya, kami menang tetapi tiada apa-apa mesej kepada semua pasukan lain. Tumpuan sekarang lebih terarah kepada perlawanan seterusnya menentang Aston Villa (awal pagi esok).
“Beberapa minggu sebelum ini kami ketinggalan jauh di belakang Liverpool dan United. Apa yang kami perlu lakukan sekarang cuba memenangi semua perlawanan yang dihadapi,” kata Guardiola yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-50 semalam.
Empat gol City dalam perlawanan itu diperoleh menerusi dua jaringan John Stones dan masing-masing satu daripada Ilkay Gundogan serta Raheem Sterling, sekali gus berjaya merekodkan kemenangan kelima liga berturut-turut.
Dalam perkembangan sama, pengendali dari Sepanyol itu gembira dengan persembahan semua pemain terutama Stones yang pernah berdepan kritikan hebat dalam beberapa tahun lalu.
“Stones bergelut dengan banyak perkara sebelum ini tetapi sekarang semuanya terpulang kepada dirinya sendiri. Dia berhak meraih perhatian ini kerana permainannya cukup sempurna selain mewujudkan keserasian dengan Ruben Dias,” jelas Guardiola. – AGENSI