PETALING JAYA – “Berjuanglah sayang, ibu tunggu adik bangun, panggil ibu bagi senyuman dekat ibu”.
Itu luahan sayu Nurul Izzati Barni, 30, buat anaknya, Che Umar Rais Che Fairollah, 4, yang terlantar selepas lemas dalam kolam, lebih empat bulan lalu.
Kata Nurul Izzati, sejak insiden 137 hari lalu itu, anaknya yang mesra dipanggil Umar bergantung sepenuhnya dengan alat bantuan pernafasan dan hanya diberi susu.
“Pada hari kejadian, nadi Umar terhenti. Saya hanya mampu berdoa dan berharap pada kuasa Allah. Alhamdulillah, selepas empat hingga lima minit, doktor maklumkan nadinya kembali berdenyut.
“Bermula dari hari pertama sehingga hari ke-18, Umar hanya gerakkan jari kaki sahaja. Pada hari ke 19, saya letakkan kepala di dada Umar dan bercakap ‘Umar bangun sayang’.
“Saya juga minta Umar kuat. Tiba-tiba badan dia menggeliat dan dia mula menunjukkan reaksi menggenggam tangan kami dengan erat. Syukur, dengan perubahan yang kami nampak,” katanya kepada Kosmo!.
Bercerita lanjut, Nurul Izzati berkata, Umar yang juga anak bongsu daripada tiga beradik merupakan kanak-kanak yang periang serta murah dengan senyuman.
“Rawatan berjalan lancar, dan tiada masalah besar buat masa ini. Kami sekeluarga berharap agar dia dapat bernafas sendiri tidak lama lagi. Saya rindu suara manja Umar dan gelak tawanya,” ujarnya.
Nurul Izzati mempunyai dua lagi anak berusia 10 dan 11 tahun dan suaminya, Che Fairollah Che Mezam, 40, yang merupakan penjawat awam kini berada di Tanah Suci.
Sementara itu, Nurul Izzati berkata, dia memanfaatkan TikTok untuk berkongsi perkembangan anaknya yang kini dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar Kedah bukan untuk mendapatkan sumbangan tetapi memohon doa orang ramai.
“Saya percaya doa semua orang sangat membantu. Doa rakyat Malaysia menguatkan semangat Umar,” katanya.