KUBANG PASU – Lebih 1,000 botol cecair pencuci pakaian tiruan jenama popular bernilai hampir RM20,000, dirampas dalam tiga serbuan serentak dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah di tiga daerah dalam negeri ini, semalam.
Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, serbuan itu dilakukan kira-kira pukul 11 pagi di tiga pasaraya dalam daerah Kota Setar, Sungai Petani dan Baling.
Katanya, operasi di kesemua pasaraya itu turut disertai oleh wakil pemilik cap dagangan berdaftar cecair pencuci pakaian tersebut.
“Secara keseluruhannya, kami merampas 1,049 botol cecair pencuci pakaian tiruan yang dijual di ketiga-tiga pasaraya terbabit bernilai RM19,897. Sebanyak 572 botol dirampas di Sungai Petani, 283 botol dirampas di Kota Setar dan 194 botol dirampas di Baling.
“Jika dilihat dari mata kasar, pelekat dan botol digunakan kelihatan hampir sama. Namun jika diteliti dengan lebih mendalam, botol cecair pencuci yang asli mempunyai pelekat lebih licin manakala label pada botol palsu kelihatan sebam.
“Selain itu pengguna dapat mengesan perbezaannya melalui bau. Bau cecair pencuci pakaian yang palsu itu tidak sewangi produk asli malah ada antaranya tidak berbau wangi langsung,” katanya dalam sidang akhbar di Stor KPDN Kedah di Tunjang dekat sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, siasatan awal mendapati ketiga-tiga pasaraya tersebut mendapatkan bekalan cecair pencuci pakaian itu dari ejen yang sama. – KOSMO! ONLINE