MUNICH – Bekas legenda Bayern Munich, Philipp Lahm menyeru agar kapten semasa skuad The Bavaria yang juga penjaga gol utama, Manuel Neuer ‘berundur’ secara terhormat selepas gagal mempamerkan prestasi yang diharapkan musim ini.
Sebagai rekod, Neuer dilihat sudah tidak berada di puncak prestasi memandangkan usianya sudah mencecah 39 tahun sehingga dianggap mampu menjejaskan misi pasukan untuk menjulang trofi musim ini.
Menurut Lahm, situasi yang sama turut dialami pada musim terakhirnya bergelar pemain profesional apabila sering dikritik sehingga membuat keputusan untuk gantung buat pada penghujung musim 2016/2017.
“Saya harap Neuer sudah boleh merasai perasaan bahawa dia tidak lagi boleh beraksi di peringkat tertinggi secara konsisten dan membuat keputusan yang tepat pada penghujung musim nanti.
“Ia bukanlah situasi yang memalukan kerana saya bersara daripada skuad kebangsaan pada 2014 dan Bayern pada 2017 sewaktu masih bergelar kapten, mungkin Neuer boleh lakukan perkara yang sama.
“Buat masa ini, kita masih boleh anggap Neuer antara penjaga gol terbaik dunia tetapi moralnya sedikit terjejas adalah peminat sering membandingkan ketangkasan ketika dia beraksi pada 10 tahun lalu dan sudah tentu ia bukan perkara mudah,” katanya.
Difahamkan, kontrak Neuer bersama skuad The Bavaria bakal berakhir pada penghujung musim ini tetapi pengurusan tertinggi pasukan itu sedia untuk menawarkan kontrak lanjutan selama setahun hingga penghujung musim 2025/2026. – AGENSI