KEMAMAN – Seekor tapir jantan dewasa seberat kira-kira 250 kilogram ditemui mati dipercayai dilanggar kenderaan di Kilometer 289.1 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Chukai di sini hari ini.
Bangkai haiwan liar dilindungi itu ditemukan kakitangan LPT 2 pada pukul 9.30 pagi.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, tapir tersebut ditemui mati dengan kesan kecederaan di bahagian kepala, dipercayai akibat dilanggar kenderaan.
“Bangkai haiwan terancam itu telah diambil lima anggota Perhilitan terlibat untuk diuruskan dan ditanam di lokasi sesuai,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam. – KOSMO! ONLINE