LIPIS – Polis merampas 494 unggas dan mamalia kecil disyaki dilindungi yang dibawa sebuah lori dalam satu sekatan jalan raya di Kilometer 7 Jalan Lipis-Benta di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu polis turut menahan seorang lelaki yang memandu lori berkenaan.
“Dalam sekatan itu kita menahan sebuah lori jenis Rigid Mitsubishi Fuso dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun yang dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan menuju ke Shah Alam, Selangor.
“Pemeriksaan awal mendapati lori tersebut membawa muatan haiwan hidup disyaki spesies yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716),” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati haiwan tersebut dibawa tanpa permit dan kelulusan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan). – KOSMO! ONLINE