LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta tidak berasa panik dengan kekalahan 0-2 kepada Newcastle United pada aksi pertama separuh akhir Piala Liga, awal pagi semalam.
Walaupun gagal menghasilkan sebarang jaringan menerusi 23 percubaan dilakukan, Arteta menganggap statistik itu sebagai bukti anak-anak buahnya mempunyai kualiti untuk mengecewakan The Magpies pada aksi kedua nanti.
Walaupun berdepan nasib kurang baik, pengurus dari Sepanyol itu memberi ingatan kepada pemainnya supaya tidak berputus asa untuk menghadirkan kejayaan sulung di pertandingan itu sejak 1993.
“Perjalanan masih lagi panjang dan sekarang boleh dianggap sebagai separuh masa pertama. Memang mengecewakan kerana prestasi kami langsung tidak menggambarkan keputusan akhir perlawanan ini.
“Kami boleh melakukannya dengan lebih baik dan dengan jumlah percubaan yang kami hasilkan, kami sepatutnya mampu menjaringkan dua atau tiga gol. Situasi yang kami hadapi agak rumit, tetapi kami tidak boleh beri alasan.
“Kita lupakan aksi kali ini kerana ini baharu separuh perlawanan. Dengan apa yang ditunjukkan, kami mampu untuk tampil lebih baik bagi memastikan kami mampu mara ke final,” katanya.
Arteta juga percaya sekiranya pemain mampu ulangi prestasi semalam, Arsenal mampu menafikan kelebihan dua gol Newcastle yang dihasilkan oleh Alexander Isak dan Anthony Gordon.
Tempoh kira-kira empat minggu sebelum aksi timbal balik sudah cukup buat Arsenal menyiapkan diri dan kini sedang beri perhatian kepada beberapa lagi perlawanan penting.
Arteta juga mahu menjadikan perlawanan kali ini sebagai panduan untuk menyiapkan pasukan dengan lebih baik untuk hadapi Manchester United di pusingan ketiga Piala FA, Ahad ini. – AGENSI