KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan disarankan untuk memperhalusi semula keputusan mewajibkan tujuh kategori perusahaan memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) sebagai syarat memperbaharui lesen perniagaan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkuat kuasa tahun ini.
Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi Parlimen, Lee Chean Chung berkata, keputusan tersebut dilihat sebagai langkah tergesa-gesa yang boleh menimbulkan implikasi negatif terhadap peniaga-peniaga kecil termasuk dalam kalangan masyarakat Melayu sendiri.
Menurutnya, beliau memahami niat baik PBT dan agama di Kelantan yang mahu mempromosikan industri halal negara, tetapi ia sepatutnya berkembang melalui kaedah dorongan kepada peniaga dan bukan secara mewajibkan atau paksaan.a.
Mengulas lanjut, Chean Chung yang merupakan Ahli Parlimen Petaling Jaya berkata, kerajaan Kelantan harus sedar bahawa langkah mewajibkan pensijilan halal secara tergesa-gesa boleh membawa rantaian implikasi negatif terhadap peniaga kecil dan perusahaan premis milikan tunggal.
Menurutnya, premis kopitiam tradisional di Kelantan kebanyakannya merupakan milikan tunggal dan mengambil bekalan barangan jualan daripada pembekal yang merupakan peniaga kecil Melayu yang menjalankan perusahaan di rumah.
“Kita perlu memahami sentimen masyarakat di kawasan lain yang bimbang langkah mewajibkan sijil halal di peringkat Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) boleh diguna pakai sebagai contoh atau mungkin boleh dikuat kuasakan juga di luar Kelantan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE