PETALING JAYA – Pemuda Pas menyambut baik usaha Kementerian Pelancongan Malaysia dalam mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 (Visit Malaysia) yang baru saja dilancarkan beberapa hari lalu.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Malaysia, Nadzir Helmi turut memuji logo tema Tahun Melawat Malaysia yang sangat bertepatan dengan nilai budaya ketimuran serta mencerminkan seni warisan negara yang unggul.
Walau bagaimanapun jelas beliau, Pemuda Pas melahirkan kebimbangan berkenaan montaj promosi yang bakal ditayangkan di peringkat antarabangsa.
“Ternyata, montaj tersebut langsung tidak menonjolkan keindahan dan keunikan masjid-masjid dalam negara yang mempunyai nilai yang signifikan kepada negara selain menjadi simbolik kepada agama persekutuan.
“Sebaliknya, montaj berkenaan memaparkan suasana tempat ibadat selain Islam dan bangunan peninggalan penjajah. Montaj yang langsung tidak mengetengahkan keindahan masjid membina persepsi negatif dalam kalangan rakyat kerana tindakan ini mengulangi isu Georgetown Festival yang menjadi polemik pada tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, Pemuda Pas mempersoalkan pengulangan kesilapan Georgetown Festival melalui ketiadaan masjid dalam montaj tersebut adalah hasil kesilapan tidak sengaja, atau sebenarnya ia merupakan satu tindakan yang disengajakan atas agenda tertentu.
Menerusi komen masyarakat Melayu Islam di pelbagai platform, ternyata ramai yang mempersoalkan berkait ketiadaan lambang syiar Islam, elemen seni bina Islam dan unsur seni bina warisan melayu yang melambangkan budaya dan identiti negara tidak diketengahkan dalam montaj promosi tersebut sehingga menimbulkan kesangsian dan syak wasangka.
Justeru, Pemuda Pas katanya, menyeru pihak Kementerian Pelancongan agar memberi penjelasan berkenaan isu ini dan mengambil tindakan segera.
“Selain itu, dalam pembikinan montaj pelancongan peringkat antarabangsa, Pemuda Pas menyarankan untuk kerajaan merujuk Jalur Gemilang dan Jata Negara yang terkandung elemen Islam, sekali gus memperihalkan identiti dan agama persekutuan negara.” katanya. – KOSMO! ONLINE.